Saturday, February 16, 2008

Kepimpinan Melayu


Aspek budaya politik lazim digunakan dalam melihat proses pembangunan politik sesebuah masyarakat atau negara. Ini kerana budaya politik adalah elemen fundamental yang mendasari dan mengorientasikan nilai, norma dan tingkah laku individu atau kelompok yang menganggotai sesebuah masyarakat terhadap sistem politik yang mendiami. Sesebuah masyarakat sering dilihat berkembang dari satu tahap yang tradisional kepada tahap yang lebih maju, apatah lagi sekiranya masyarakat tersebut adalah masyarakat yang berinteraksi serta mempunyai hubungan dengan masyarakat yang lain.

Kepimpinan dan pemimpin kerapkali menjadi salah satu subjek perhatian dalam kajian perkembangan politik sesebuah negara. Dari sudut politik, orang Melayu masih mempunyai ketajaman dan kepintaran dalam menangani situasi semasa, tidak kiralah di dalam negara ataupun di peringkat antarabangsa. Diantara peristiwa-peristiwa bersejarah yang berjaya ditangani termasuk tekanan British dengan konsep Malayan Union, tuntutan kemerdekaan, slogan “Malaysian Malaysia” yang dilaungkan oleh PAP, episod 13 Mei yang diterokai oleh komunis, kelembapan ekonomi pertengahan 80-an, dan serangan ke atas nilai ringgit Malaysia oleh penyangak asing pada penghujung dekad 90-an – kesemua ini telah ditangani dengan cemerlangnya oleh pucuk pimpinan negara. Ternyatanya bahawa dari sudut keyakinan pada diri sendiri, pucuk pimpinan orang Melayu telah dapat menunjukkan bakat dalam menangani banyak masalah. Orang Melayu sudah mula mengambil sikap ‘pengayuh sama di tangan, perahu sama di air’.

Isu utama kepimpinan ialah keberkesanannya ialah sejauh mana sifat, ciri, gaya atau tingkah laku pemimpin memberi kesan kepada prestasi, pencapaian matlamat, kepuasan pengikut kepada pemimpin dan pengekalan status dan kedudukan pemimpin. Pengaruh pemimpin terdapat dalam 3 bentuk sebagai pemudah matlamat guru kemahiran dan sebagai pengawal kemotivasian. Apabila pemimpin mampu mengenakan pengaruhnya dan pengaruh itu menyebabkan pengikut mencapai matlamat mereka, kepimpinannya dianggap berkesan. Idea bahawa kecekapan pemimpin boleh diukur dengan memerhatikan kesannya kepada orang-orang yang dipimpin. Di bawah iklim demokratik pemimpin mencadangkan cadangan dan maklumat tetapi keputusan tentang apa yang telah dibuat, rancangan-rancangan yang hendak dilaksanakan dan siapa yang perlu bekerja dibuat oleh ahli-ahli.

Di peringkat pucuk pemimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad telah berada dalam kerusi ketua pemandu selama dua dekad. Soal penggantian sudah semestinya kerap mengisi pemikirannya. Untuk menerajui sesebuah negara yang cepat membangun adalah satu tangungjawab yang paling kritikal. Kekuatan UMNO adalah negara secara umumnya, sementara bangsa Melayu adalah tunjang kepada kekuatan politik UMNO. Situasi dan keadaan sedemikian telah diisi oleh UMNO yang menjadi pertubuhan dominan bagi orang Melayu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil alih kepimpinan politik UMNO dan negara daripada Tun Hussein Onn pada 1981 sebagai seorang yang pernah mengkritik Tunku pada suatu ketika dahulu, kini beliau sendiri berada dalam kedudukan berkenaan. Beliau tidak mencapai kedudukan dalam politik melalui perkiraan kroni dan nepotisme seperti pemimpin sebelumnya berdasarkan latar belakangnya, cara kepimpinan Tun Dr Mahathir berbeza daripada ketiga-tiga pemimpin yang berasal daripada golongan bangsawan. Model kepimpinan beliau dapat dibahagikan kepada 4 iaitu pengurus, penyelia, usahawan dan juruteknik. Kepimpinan beliau menandingi kepimpinan UMNO yang terdahulu. Sejak era Tunku, beliau dianggap sebagai seorang pejuang nasib UMNO yang mundur dari segi ekonomi. Setelah menerajui UMNO, beliau berpeluang merealisasikan cita-cita berkenaan. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diteruskan pelaksanaannya, beliau berusaha secara serius untuk melahirkan seramai mungkin usahawan dan jutawan Melayu yang berwibawa dan dihormati.

Beliau percaya dengan adanya segolongan korporat Melayu yang kukuh, bangsa Melayu umunya akan dihormati. Pendekatan beliau ialah menggunakan dasar kerajaan untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Melayu. Hanya campur tangan kerajaan sahaja kepentingan orang Melayu akan terjamin. Dari segi sikap umum, masyarakat Malaysia, beliau telah mengubah paradigma persepsi bahawa semua yang datang dari Barat itu baik dan berkualiti. Beliau melancarkan dasar pandang ke Timur dengan berpaksikan model sosio-ekonomi masyarakat Jepun dan Korea. Tindakan ini adalah untuk mengubah gaya hidup dan pandangan sebahagian intelektual dan golongan menengah Melayu yang pernah belajar di Barat dan terlalu mengagungkan nilai dan norma kehidupan Barat.

Pelancaran Dasar Pensyarikatan dan Penswastaan oleh beliau dianggap berani kerana mengambil risiko dalam kepimpinan politiknya. Beliau tidak pernah meletakkan kedudukan ekonomi orang Melayu di tahap yang lebih tinggi. Pelaksanaan dasar tersebut telah menghasilkan kerja yang cekap dan produktif. Keinginan beliau untuk melihat ramai orang Melayu terlibat dalam bidang perniagaan dan mampu bersaing dengan orang asing berjaya tercapai melalui pelaksanaan dasar tersebut. Tun Dr Mahathir bukan sahaja melahirkan ramai jutawan Melayu tetapi beliau menukar corak ekonomi negara daripada berasaskan agraria kepada perniagaan dan berjaya menjadikan negara ini sebagai ‘business country’.

Kepimpinan Tun Dr Mahathir sangat liberal jika dibandingkan dengan kepimpinan yang terdahulu kerana lebih banyak berkompromi terutamanya dalam bidang sosio-ekonomi. Untuk memastikan negara ini menjadi negara maju, beliau membuka seluas-luasnya pelaburan dan pasaran tempatan kepada kapitalis asing supaya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, pendapatan dan pemindahan teknologi. Bagi memastikan kemajuan seiring dengan perkembangan pendidikan, beliau telah membenarkan kolej swasta dan universiti berasaskan etnik. Beliau juga sering melihat yang tidak kelihatan, memungkinkan yang mustahil jadi kenyataan. Ini adalah satu pendekatan untuk menyelami dalamnya pemikiran dan kualiti kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Di samping itu, terdapat juga pola kepimpinan ‘separuh atau autoritarian’ yang dimanifestasi melalui pendekatan menangani konflik dalaman UMNO dan beberapa pelaksanaan dasar kerajaan. Misalnya, tindakan beliau meminggirkan kelompok Musa, menggugurkan kelompok Tun Razaleigh dan memencilkan Tun Ghafar Baba daripada UMNO dan kerajaan sebenarnya adalah untuk memastikan kedudukannya tidak digugat dan terus mengekalkan kuasa. Tidak dinafikan bahawa model pengurus, juruteknik, usahawan dan penyelia turut diterapkan dalam kepimpinannya tetapi pola liberal dan separuh autotarian lebih terserlah.

Tidak sukar untuk kita membezakan pemimpin yang berbuat segalanya demi untuk kekal berkuasa dengan pemimpin yang mahu terus memimpin kerana perjuangan yang belum selesai. Pemimpin yang termasuk ke dalam golongan yang pertama akan menumpukan setiap aktiviti dan kegiatannya hanya kepada yang boleh mengukuhkan kedudukan dan kuasanya sahaja. Di sinilah lahir dan bersemaraknya kronisme, nepotisme dan politik wang yang berlebihan sebagai alat untuk pengekalan kuasa itu. Bagi pemimpin yang mahu terus berkuasa disebabkan oleh perjuangan yang belum selesai akan terus-menerus menjana idea, program dan aktiviti yang bila dilaksana akan membawa manfaat dan kesejahteraan kepada orang ramai amnya dan kepada bangsa khasnya.

Cuba kita lihat sejauh mana personality Tun Dr. Mahathir ini menepati ciri pemimpin yang dikagumi sepertimana penyelidikan yang dibuat di empat benua iaitu Amerika, Asia, Eropah dan Australia. Kajian yang dibuat oleh Kouzes dan Posner, seperti yang dijelaskan dalam buku mereka The Leadership Challenge, menunjukkan bahawa ciri-ciri utama pemimpin yang disanjung dan berkesan yang dibuat sebanyak dua kali dalam tahun 1987 dan 1995 ialah bersifat jujur, memandang jauh ke hadapan (forward looking), berupaya meningkatkan semangat dan harapan bangsanya (inspiring) dan cekap bekerja (competent).

Keberkesanan sesuatu kepimpinan adalah dicerminkan oleh tahap dan kualiti kehidupan bangsa dan masyarakat yang dipimpinnya. Dalam konteks masyarakat Malaysia, perangkaan demi perangkaan jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menikmati kualiti kehidupan yang jauh lebih baik dari kebanyakan negara membangun. Pemimpin yang peka terhadap kesejahteraan orang ramai atau masyarakat yang dipimpinnya, akan sentiasa mencabar proses yang ada, mencari dan menerima cabaran-cabaran baru dan sentiasa memperbaiki sistem pentadbiran dan pengurusan yang digunakan pada hari ini. Sebagai misalan, jika sekiranya negara menghadapi kekurangan kewangan, pemimpin tidak akan menjual harta negara, terutama sekali hartanah.

Di Malaysia, sebagai contoh kepada kepimpinan yang progresif dan gemar kepada cabaran seperti yang dipraktikkan oleh Tun Dr. Mahathir adalah banyak. Dasar Ekonomi Baru adalah baru tetapi mengikut acuan Malaysia; ASB dan ASN adalah sesuatu yang baru dan inovatif; Proton dan EON adalah baru dan menjadi kebanggaan negara; Cyberjaya dan Multi-media Super Corridor adalah baru dan sangat mencabar, lebuh raya utara selatan dan lain-lain projek penswastaan adalah baru yang bukan sahaja membawa kemudahan kepada rakyat tetapi membantu mempesatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Jelas kelihatan dari segi kepimpinan Tun Dr. Mathathir merupakan sebagai pelajar yang gigih, tidak kenal jemu dalam mempelajari yang baru. Di sinilah letaknya satu lagi kehebatan seorang pemimpin, yang sanggup belajar sambil memimpin menghadapi cabaran dan halangan.Beliau juga menyeru setiap warga berkongsi wawasan dan sama-sama bekerja keras untuk mencapai impian itu, adalah juga merupakan ciri hebat seorang pemimpin. Menanamkan keyakinan dalam setiap warga tentang keupayaan kita mencapai impian tersebut melalui slogan seperti Malaysia Boleh atau Melayu Boleh adalah merupakan ramuan penting untuk mencapai wawasan itu.

Wawasan 2020 adalah merupakan gambaran masyarakat ideal yang dilukiskan oleh Tun Dr. Mahathir yang hendak kita capai bersama. Walaupun bukan untuk dinikmati oleh sebahagian warga pada hari ini termasuk Tun Dr. Mahathir sendiri, tetapi yang penting kita telah menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk generasi yang akan datang. Inilah sumbangan besar seorang pemimpin agung. Sumbangan ini sebenarnya menjadi cabaran kepada anak-anak muda pewaris kepimpinan untuk mencapai wawasan yang telah menjadi impian dan harapan negara itu.Konsep Malaysia Inc atau Persyarikatan Malaysia adalah satu konsep yang menggalakkan team-work, semangat kerjasama yang erat dan dijalin dengan ikatan esprits de corps yang kukuh. Kehebatan berpidato adalah tidak mencukupi untuk menjadi pemimpin yang disanjung dan dikagumi. Seperti kabus, apabila sampai kepada delivery yang dijanjikan, orang ramai akan tahu juga bahawa ucapan berapi-api yang boleh membakar semangat dan move mountains tidak akan membawa apa-apa pengertian jika tidak dibuktikan dengan tindakan dan pelaksanaan yang tangible.

Kehebatan tarikan karisma juga tidak membawa erti apa-apa jika seseorang pemimpin itu tidak mampu menjadi teladan yang baik kepada pengikut-pengikutnya. Setiap perbuatan, tindakan dan amalan yang memberi makna dan membawa kesejahteraan kepada orang ramai sama ada untuk hari ini atau untuk generasi akan datang, adalah lebih bererti daripada ucapan berapi-api.Isu perjuangan Tun Dr. Mahathir yang belum selesai ini adalah sungguh menarik sekali. Ia wujud oleh kerana beliau telah melihat banyak perkara yang berkaitan dengan program mendaulatkan bangsa Melayu yang kebanyakan kita tidak kelihatan. Dan hasil daripada melihat yang tidak kelihatan itu lalu terjanalah pelbagai ide dan pemikiran yang boleh memungkinkan sesuatu yang kelihatan mustahil, menjadi kenyataan.

Pemimpin yang bijaksana yang telah melihat yang tidak kelihatan itu seterusnya mampu memanfaatkannya dengan mengkaji dengan lebih teliti, diolah, disesuaikan dengan keadaan dan seterusnya diterjemahkan menjadi aktiviti yang mampu membawa perubahan dan penghijrahan kepada yang lebih baik.Itulah sebenarnya yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir selama beliau menerajui pemerintahan negara ini iaitu berusaha tanpa mempedulikan sebarang rintangan untuk menaikkan martabat bangsa Melayu di negaranya sendiri. Kita mulakan dengan erti kemerdekaan dan ketuanan Melayu.Pada hakikatnya Melayu di negara ini belum mencapai kemerdekaan yang mutlak dan abadi. Kemerdekaan bangsa Melayu bukanlah setakat bebas dari penjajahan. Kemerdekaan sebenarnya mempunyai erti yang lebih besar dan luas, yang merangkumi kemerdekaan dalam cara pemikiran, sikap dan pendekatan kepada semua aspek kehidupan. Kemerdekaan juga bererti ketidakbergantungan kepada bangsa lain dalam bidang ekonomi, politik, pasaran, teknologi atau modal.Kemerdekaan juga memberi makna kemampuan bangsa Melayu melengkapi atau memenuhi kehendak dan keperluan bangsa lain dalam bidang ekonomi, pasaran, teknologi, modal atau lain-lain faktor pengeluaran dan perkhidmatan.

Ramai di antara kita yang menganggap orang Melayu sudah menjadi tuan di negaranya sendiri oleh kerana kita memegang kuasa politik. Sedikit sebanyak ini memang ada kebenarannya kerana penguasaan politik adalah merupakan ramuan terpenting untuk mencapai tahap ketuanan. Tetapi kepada Perdana Menteri, adalah belum cukup untuk Melayu menjadi tuan hanya bersandarkan kepada kuasa politik sahaja sedangkan kita masih 'terjajah' dalam bidang ekonomi, teknologi, pengurusan, perkhidmatan, pasaran dan networking. Apabila Tun Dr. Mahathir mencetuskan ideanya agar Malaysia mengeluarkan kereta nasionalnya sendiri, hampir semua orang yang berkaitan menentang dan tidak menyetujuinya, termasuklah pemimpin-pemimpin kanan politik negara. Namun hasil daripada keyakinan beliau dan disokong dengan perancangan yang rapi dan pelaksanaan yang profesional, Proton rupanya menjadi kejayaan negara yang sangat cemerlang. Di UK sahaja pemasaran kereta Proton telah memenangi beberapa hadiah.Beliau telah melihat kemungkinan pembinaan kereta nasional ini menjadi platform untuk golongan profesional dan teknikal Melayu membuktikan kemampuan mereka di dalam disiplin pembuatan. Ternyata kebolehan dan kemahiran Melayu dalam bidang pembuatan memang ada dan terbukti kecemerlangannya hingga ke taraf antarabangsa.

Begitu juga pembinaan Putrajaya. Kepada kebanyakan orang mungkin tidak lebih dari pembukaan satu bandar baru sebagai pusat pentadbiran negara yang canggih untuk melangkah ke abad 21. Tetapi tahukah kita mengapa kita harus pindah ke Putrajaya dan tidak kekal mengembang di Kuala Lumpur? Tahukah anda bahawa tanah-tanah yang belum dibangunkan di Kuala Lumpur bukan milik Melayu. Dan kalau kerajaan membeli tanah tersebut untuk apa juga kegunaan, harganya terlalu mahal sekali. Jadi kalau diteruskan di Kuala Lumpur siapa yang untung? Sedangkan di Putrajaya orang-orang Melayu adalah diberi peluang untuk memulakan ketuanan mereka dalam bidang hartanah.

Bukan sahaja tanah estet telah diambil semula, bahkan orang-orang Melayu yang mempunyai tanah di sekeliling Putrajaya akan mendapat keuntungan. Kita difahamkan jika sekiranya Putrajaya siap dibina, nilai hartanah di Putrajaya adalah dianggarkan sebanyak RM400 bilion. Inilah yang kebanyakan kita tidak melihat. Tetapi Dr. Mahathir nampak perkara ini dengan jelas dan beliau mengambil kesempatan untuk memartabatkan bangsa Melayu dengan mempastikan perancangan, pembinaan dan pengembangan Putrajaya dijalankan dan menguntungkan Melayu. Beliau memungkinkan yang mustahil hingga menjadi kenyataan.

Zaman ini adalah zaman IT. Mereka yang segera memiliki teknologi ini dan mahir menggunakannya berkemungkinan besar akan menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan. Dan orang Melayu kalau tidak diberi peluang untuk berkembang giat dalam bidang IT yang serba baru ini akan terus tercicir ke belakang. Dalam wawasannya tergambar yang orang Melayu harus pantas menerokai bidang ini jika mahu berada di barisan hadapan dalam bidang teknologi maklumat. Lalu terdirilah Cyberjaya, satu bandar pintar dengan industri multimedia, lengkap dengan pusat-pusat R&D, Universiti Multimedia dan ibu pejabat operasi syarikat-syarikat multinasional yang ingin menguruskan aktiviti pengeluaran dan perdagangan mereka dengan menggunakan teknologi multimedia. Adakah kita akan menganggap pembinaan projek-projek ini yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sebagai membazir dan tidak menepati masa dan keadaan? Kalau tidak ada MSC yang ditulangbelakangkan oleh Tun Dr. Mahathir dan kerajaan, mampukah anak-anak Melayu menerokai bidang baru ini dan berjaya menguasainya?

Sesungguhnya kreativiti Tuni Dr. Mahathir tidak pernah ada noktahnya. ASB dan ASN serta lain-lain saham amanah selepasnya adalah juga cetusan idea Tun Dr. Mahathir. Kejayaannya sungguh menakjubkan di mana setakat hari ini menurut Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Ahmad Sarji, sejumlah RM30 bilion telah diterima dari lebih kurang 7 juta pelabur bumiputera yang layak. Kepada kebanyakan kita, ASB dan ASN merupakan pelaburan yang selamat dan memberi pulangan yang lumayan. Tetapi kepada Tun Dr. Mahathir ia merupakan satu lagi potensi untuk meyakinkan orang-orang Melayu agar bersatu padu menggembleng dana agar menjadi satu force yang kuat. Banyak lagi contoh projek dan aktiviti yang dilaksanakan oleh beliau yang jika dihalusi dengan teliti akan menyumbang ke arah kemerdekaan Melayu yang mutlak dan ketuanan Melayu yang lebih bererti, seperti Menara Berkembar Petronas, KLIA, Lebuh Raya Utara Selatan, Menara KL dan lain-lain lagi.

No comments: